Saturday, April 9, 2011

Aqsa Syarif mengajak rakyat Malaysia memperingati tragedi Deir Yassin - 9 April 1948



Tarikh 9 April akan sentiasa terpahat di hati rakyat Palestin sebagai tragedi pilu yang masih dirasai sehingga kini. Meskipun tragedi dahsyat itu sudah berlalu 63 tahun yang lalu, ia tetap menghantui rakyat Palestin dan sesiapa sahaja yang punya rasa kemanusiaan tanpa mengira bangsa dan agama.
Pada dinihari sekitar 4.30 pagi Jumaat 9 April 1948, kumpulan pengganas zionis Haganah membariskan 33 orang yang menghadiri majlis perkahwinan di sepanjang tembok bangunan. Kesemua mereka termasuk pasangan pengantin kemudiannya ditembak tanpa belas kasihan. Hanya seorang kanak-kanak yang berumur 12 tahun ketika itu hidup untuk menceritakan pengalaman ngeri yang disaksikan dengan mata kepalanya sendiri.

Terselamat kerana dilindungi oleh mayat-mayat ahli keluarganya , beliau melihat sendiri bagaimana adek perempuannya yang berusia 4 tahun bersepai kepalanya ditembak oleh pengganas-pengganas tersebut.

Itulah dia tragedi Deir Yassin yang akan kekal ditulis dengan tinta darah. Peristiwa yang amat dahsyat ini dilakukan oleh sekelompok manusia yang mendakwa mereka diseksa dengan kejam oleh Nazi di kem-kem Auswitch, Bergen-Belsen dan Dachau. Ternyata kezaliman dan tindakan yang tidak akan dilakukan oleh haiwan sekalipun membuktikan bahawa pendukong zionis hanya berselindung disebalik penderitaan mereka untuk melakukan perbuatan yang jauh lebih keji dari apa yang mereka alami. Peristiwa Deir Yassin menyaksikan bagaimana tahap kemanusiaan sudah jatuh ke tahap yang amat keji sehingga tidak mungkin dibayangkan oleh sesiapa yang masih waras akal fikirannya. Cukuplah apa yang didedahkan oleh beberapa orang yang terselamat kerana terlindung di sebalik tumpukan mayat dan timbunan batu dan kayu yang menyaksikan bagaimana wanita-wanita hamil dirodok perut mereka dan dikeluarkan janinnya. Semua ke 25 orang ibu yang mengandung dipaksa melihat bagaimana bayi yang mereka kandung dikerat sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. Kanak-kanak pula dipancung di hadapan ibu-ibu mereka. Seramai 52 orang kanak-kanak dibunuh secara kejam begini. Ternyata perbuatan amat biadap ini sengaja dirancang untuk menimbulkan ketakutan yang mencengkam di sanubari rakyat Palestin supaya mereka segera meninggalkan tanah air mereka demi keselamatan diri dan keluarga. Siri-siri pembunuhan beramai-ramai ini telah berlaku di banyak tempat sebelum Deir Yassin, namun sebagai umat yang bermaruah, rakyat Palestin sama-sekali tidak akan menyerah kalah. Mereka tetap bertahan dan mempertahankan kampong halaman mereka meski terpaksa berhadapan dengan kumpulan pengganas Zionis yang disokong oleh Bangsa-bangsa Bersatu, British dan negera-negara Eropah. Bantuan kewangan dan senjata terus dinikmati oleh tiga kumpulan pengganas yahudi seperti Irgun, Haganah dan Stern gang. Menjelang November 1974 apabila pelan pemisahan (partition plan) dilaksanakan oleh PBB melalui resolusi 181, pengganas-pengganas yahudi sudah memiliki 16,000 senjata api ringan, 1000 mesin gun dan 750 mortas. Dengan pelbagai senjata ini mereka menceroboh kampong halaman rakyat Palestin di Qilqiya, Nablus, Akka, Tulkarem, Beersheba, Baisan, Haifa dan Yaffa. Kemuncaknya ialah pembunuhan yang berlaku di Dier Yassin pada 9 April 1948.
Tindakan biadap kumpulan Haganah disempurnakan oleh Irgun yang dipimpin oleh tak lain dan tak bukan Menachem Begin. Dia bersama rakan-rakan remajanya, lelaki dan perempuan melakukan ‘operasi pembersihan’ ke atas Deir Yassin. Para doctor dari Persatuan Palang Merah menyaksikan bagaimana para remaja ini memastikan tidak ada yang hidup dengan membunuh sesiapa sahaja yang masih bergerak dengan sub mesin gun, bayonet dan pisau. Cara pembunuhan mereka tidak pernah dilakukan di dalam sejarah iaitu dengan meniris mangsa dari hujung kepala ke hujung kaki dan membiarkan mereka mati dengan penuh seksa.

Menachem Begin kemudiannya diangkat menjadi Perdana Menteri Israel dan dijulang sebagai pejuang kemanan dunia yang dianugerahkan hadial nobel untuk keamanan. Anugerah berprestij ini dikongsi bersama Anwar sadat hasil dari perjanjian damai Camp David pada tahun 1978 di antara Mesir dan Negara haram Israel. Satu perjanjian yang menyaksikan Anwar Sadat dihina di seluruh dunia dengan mengiktiraf Israel dan ditempelak oleh Menachem Begin dengan ucapan biadapnya ‘Selamat datang ke Jerusalem, ibu Negara abadi Israel’. Perjanjian inilah yang telah menggadaikan maruah umat Islam dan rakyat Mesir. Mesir yang sebelum itu merupakan satu-satunya Negara Arab yang mempunyai kekuatan yang standing dengan Israel bertukar menjadi kambing yang dikebirikan. Sejak tahun 1978 hingga tumbangnya Hosni Mubarak pada bulan Februari 2011, Mesir diberikan kepercayaan penuh oleh Amerika Syarikat untuk memastikan keselamatan Israel sentiasa dipelihara.

Tragedi Deir Yassin adalah symbol berdirinya Negara haram Israel di atas darah rakyat Palestin yang tumpah membasahi bumi. Menachem Begin di dalam bukunya ‘The Revolt’ dengan bangganya mengatakan
“Tanpa apa yang dilakukan di deir Yassin maka tidak akan wujud Negara Palestin. Dia menambah; ketika Haganah menjalankan beberapa operasi yang Berjaya di medan-medan lain…orang-orang Arab menyelamatkan diri mereka dengan disertai panik sambil menjerit ketakutan ‘Deir Yassin!’

Menachem Begin dan semua pepimpin Israel yang dijulang sebagai negarawan dan pejuang keamanan dunia seperti Arial Sharon dan Shemon Peres adalah remaja-remaja bersenjata yang membunuh rakyat palestin tanpa sedikitpun merasa bersalah. Kejadian pembunuhan beramai-ramai di Sabra dan Shatila pada tahun 1982 yang menyaksikan lebih 3,000 rakyat Palestin dibunuh dengan kejam oleh Arial Sharon adalah bukti jelas bahawa‘modus operandi’ mereka tidak akan berubah. Inilah pendekatan yang masih digunakan oleh Israel di Gaza, Nablus, Ramallah, Jenin, Baitul maqdis dan al-Khalil bagi mengekalkan pendudukan, pengepungan dan penghinaan ke atas Masjid al-Aqsa. Bagi mereka nyawa rakyat Palestin tidak punya harga dan mereka akan hapuskan seramai mana rakyat palestin yang diperlukan bagi memastikan Negara haram Israel terus kekal dan lestari.

Aqsa Syarif mengajak umat islam dan rakyat Malaysia sempena ulang tahun tragedy pembunuhan Deir Yassin supaya memperbaharui tekad dan keazaman untuk membela rakyat Ralestin dan berjuang berganding bahu untuk memerdekakan rakyat dan bumi Palestin yang terjajah.

Luka Deir yassin masih berdarah meski sudah berlalu 63 tahun. Satu-satunya jalan untuk menyembuhkan luka yang amat pedih yang ditanggung oleh rakyat Palestin ini ialah dengan berjuang untuk mengembalikan maruah saudara kita di Palestin.
Ayuh! Bersama Aqsa Syarif mempergiat usaha untuk membantu perjuangan pembebasan Palestin.

Aqsa Syarif
9 April 2011

Wednesday, December 15, 2010


Assalamualaikum, PACE mengucapkan tahniah kepada Harakat
ul Muqawwamat al Islamiyah (HAMAS) atas ulangtahun kelahirannya pada 14 Disember.
HAMAS muncul secara rasmi di persada tanah air Palestin pada tarikh tersebut pada tahun 1987 sempena tercetusnya Intifadhah pertama yang bermula pada 9 Disember tahun tersebut. Intifadah telah mengambalikan perjuangan Palestin di atas landasannya yang sahih iaitu jihad tanpa kompromi untuk membebaskan seluruh bumi Palestin dari cengkaman dan pendudukan haram Zionis israel semenjak tahun 1948.

Perdana Menteri Ismail Haniyeh di dalam ucapan sambutan ulang tahun penubuhan HAMAS
menegaskan bahawa mereka sekali-kali tidak akan mengiktiraf bahkan tidak mengakui kewujudan Israel sebagai entiti haram di atas bumi palestin.
Pendudukan haram israel tidak akan berlanjutan di masa hadapan dan seluruh bumi palestin dari laut (Mediterranean) ke sungai (Jordan) akan dibebaskan. "from the sea to the river; from 'Rosh haNikra to Rafah'. Sehubungan dengan itu beliau
memuji jihad bersenjata yang diterajui oleh sayap ketenteraan HAMAS iaitu Brigade al-Qassam yang sehingga kini telah berjaya membunuh 1,349 tentera zionis. Beliau juga memberi pujian kepada usaha penentangan di Iraq dengan menegaskan bahawa jalan perjuangan bagi umat Islam dalam menghadapi musuh-musuhnya hanyalah dengan
jihad fi sabilillah. Sanjungan juga dikalungkan kepada Syeikh Raed Salah, pemimpin gerakan Islam palestin 1948, yang mengambil tanggungjawab jihad mempertahankan Masjid alAqsa dan al-Haram As-Syarif al-Quds, yang dibebaskan dari penjara Israel. Beliau juga merakamkan ucapan penghargaan kepada rakyat Palestin yang hidup di wilayah palestin 1948 yang disifatkan hidup di dalam 'perut raksasa' (Levathian - biblical sea monster).

Dalam semangat yang sama beliau menyeru kepada Mahmud Abbas dan kelompok Fatah supaya tidak lagi bersekongkol dengan regim Zionis Israel dengan mengadakan kerjasama keselamatan dan mengadakan rundingan damai yang ternyata sia-sia dan merugikan perjuangan rakyat Palestin. Mereka diajak supaya kembali kepada usaha sebenar yang
akan membebaskan bumi Palestin dan rakyatnya iaitu jihad atau penentangan.

Ismail Haniyeh juga menegaskan bahawa hak rakyat Palestin untuk pulang adalah hak asasi yang tidak bolih dipertikaikan oleh sesiapa. ia adalah hak mutlak rakyat Palestin yang terusir untuk kembali ke tanah air dan kampung halaman mereka.
PACE dengan ini menyokong penuh seruan dan saranan Perdana Menteri Ismail Haniyeh untuk tidak mengiktiraf Israel, meneruskan jihad ke arah pembebasan palestin dan hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air mereka di bumi palestin.

PACE dengan ini mengiktiraf bahawa setiap inci bumi palestin yang terjajah semenjak tahun 1948 adalah bumi Palestin yang sah dan wajib dikembalikan kepada rakyat Palestin.

PACE menolak penubuhan negara Palestin berdasarkan sempadan tahun 1967 seperti yang
diistiharkan oleh Mahmud Abbas. bagi PACE, pendirian kami adalah selaras dengan HAMAS
iaitu negara Palestin berdasarkan sempadan tahun 1967 boleh diterima sebagai status sementara negara Palestin (berdasarkan resolusi 242 Majlis Keselamatan PBB 1967) dengan mewujudkan gencatan senjata bersama negara haram Israel untuk satu tempoh yang disepakati PACE menyeru semua pihak terutama kelompok Fatah yang menerajui PNA (Pihak Berkuasa Palestin) supaya berhenti meletak sebarang harapan kepada rundingan damai yang ternyata tidak memberikan apa-apa faedah kepada perjuangan pembebasan Palestin.

PACE mengingatkan 'rundingan damain' hanyalah perangkap yang dipasang oleh zionis dan sekutunya US untuk terus meredam bumi Palestin dalam pendudukan dan cengkaman yahudi zionis secara berterusan.

PACE menyeru umat islam seluruh dunia supaya bersatu di atas kalimah Lailahaillah dan
melaungkan slogan 'al-jihad fi sabiluna' - jihad adalah jalan kami demi mempertahankan tanah suci umat Islam dan Masjid al-Aqsa.

PACE juga mengambil kesempatan ini untuk menyatakan penghargaan yang tidak terhingga
kepada masyarakat sipil (madani) yang terdiri dari kalangan NGO dan palbagai inisiatif lain yang diterajui oleh warga dunia, samada di kalangan muslim dan bukan Islam yang telah menyumbang tenaga, kewangan bahkan meletakkan nyawa mereka dalam keadaan terancam melalui misi-misi penghantaran bantuan makanan, ubat-ubatan dan
lain-lain keperluan asas yang amat diperlukan oleh penduduk Gaza yang terkepung dan dikenakan sekatan oleh regim kebinatangan zionis (Laknat Allah atas mereka semuanya).

Usaha-usaha ini yang dijelmakan oleh VP (Viva Palestina), IHH (Turki), yang turut disertai oleh VPM, Aqsa Syarif, Haluan Palestin di Malaysia baik melalui Flotila
LL4G (Lifeline for Gaza) di atas kapal Mavi Marmara, LandConvoy VP5 yang diterajui oleh VPM dan Aqsa Syarif (Aqsa2Gaza).

PACE juga mengucapkan tahniah kepada Muasassah al-Quds Malaysia yang rasmi
penubuhannya pada 12 Disember 2010, sebagai cawangan kepada Muasassah al-Quds pusat yang diterajui oleh as-Syeikh Prof Dr Yusuf AlQardhawi. Penubuhan Muassasah al-Quds yang berjaya menggabungkan parti-parti politik baik parti politik pemerintah mahupun parti-parti bukan pemerintah dan juga pelbagai NGO seperti IKRAM, Aqsa Syarif, Syura, Haluan Palestin,PGPF, Aman Malaysia dan banyak lagi pertubuhan
yang bakal bersama adalah petanda jelas bahawa rakyat Malaysia akan menyertai warga dunia dalam satu keluarga antarabangsa yang bersiap sedia untuk membebaskan bumi palestin dan cengkaman zionis israel.

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor
Pengarah
PACE (Palestine Centre
of Excellence)

Wednesday, November 3, 2010

Liputan Bergambar Wacana Sukarelawan Palestin





Alhamdulilah. Pertubuhan Ikram Batang Padang dengan kerjasama Aqsa Syarif Berhad telah berjaya menganjurkan Wacana Sukarelawan Palestin pada 31hb Oktober 2010. Perasmian program ini telah disempurnakan oleh Dr Haji Fakharudin bin Hasim yang merupakan Yang Dipertua IKRAM Perak. Seramai 36 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, penunut institusi pengajian tinggi, pensyarah dan masyarakat awam telah menyertai program ini.

Dua penyampaian telah disajikan kepada peserta yang hadir. Penyampaian pertama berkisar dengan sejarah Palestin telah disampaikan oleh Dr Haji Muhammad Azhar bin Zailani , manakala Pengerusi Aqsa Syarif Perak, Ir Megat Sharifudin bin Ibrahim membentangkan tajuk Peranan NGO dalam isu Palestin khususnya berkaitan dengan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Palestin di Gaza yang sedang dipenjara oleh Israel melalui sekatan menyeluruh.

Saturday, October 23, 2010

Perutusan ke 5 Pengerusi Aqsa Syarif kepada sukarelawan VPM5 dan Aqsa Syarif



Perutusan ke 5 Pengerusi Aqsa Syarif kepada sukarelawan VPM5 dan Aqsa Syarif


Assalamulaikum


Manusia hanya merancang, Allah yang Mentaqdirkan. Kita mengharapkan perancangan kita tidak bertolak dari nafsu yang tidak Diredhai. Tidak pula bertolak dari kerja yang ditangguh-tangguh yang Dibenci Allah"


Sahabat Wira Pejuang Palestin yang kini memijakkan kaki di Bumi Gaza!


Perlukah saya menghantar perutusan ini dalam keadaan anda telah berjaya melintasi uijian-ujian pahit itu? Memang ujian Allah S.W.T tidak akan berakhir selagi kita "mukallaf" hidup dan dipertanggongjawabkan.


Keputusan muktamad untuk menyertai konvoi ini dibuat pada malam-malam terakhir bulan Ramadhan. Sebahagian ahli BOD berada di masjid beriktikaf dan bermunajat kepada Allah S.W.T. Kami tidak dapat membuat keputusan lebih awal kerana menanti beberapa info dari beberapa sumber yang sangat teliti. Allah menentukan keputusan perlu dibuat pada ketika kami beriktikaf di masjid rupanya, di 10 malam terakhir Ramadhan.


Saya percaya ratusan ribu dan mungkin jutaan manusia mendoakan konvoi ini. Penduduk Gaza dan Tebing Barat sendiri pun dah melebihi angka juta. Saudara kita di Malaysia, Indonesia, Selatan Thailand, Filipina, Singapura, Brunei, India, Pakistan dan 20 buah Negara-Negara Arab, Eropah, Benua Amerika dan Afrika, pasti mengikuti perkembangan anda di sana.


Anda telah berdiri memijakkan kaki di England, Itali dan Perancis bumi penjajah, dalam keadaan tangan anda mengibarkan bendera Palestin kepada penduduk di sana. Maka hebohlah perjuangan Palestin di sana dan di sekitarnya.


Anda telah berdiri memijakkan kaki di Turki bumi Abu Ayyub al-Ansari dan bumi Sultan Mohammad al-Fatih, dalam keadaan tangan anda mengibarkan bendera Palestin kepada penduduk di sana. Maka hebohlah perjuangan Palestin di sana dan di sekitarnya.


Anda telah memijakkan kaki di bumi Anbiya' Syria, menyaksikan perkemahan pelarian Palestin, dalam keadaan tangan anda mengibarkan bendera Palestin kepada penduduk di sana. Maka hebohlah perjuangan Palestin di sana dan di sekitarnya.


Anda juga telah memijakkan kaki di bumi Anbiya' Mesir dalam keadaan tangan anda mengibarkan bendera Palestin kepada penduduk di sana. Maka hebohlah perjuangan Palestin di sana dan di sekitarnya.


Kuasa Allah, selepas Menguji anda dengan perjalanan udara, air dan darat ribuan kilometer membelah bumi, menunggu dan menanti, akhirnya... kini anda telah menyerahkan kenderaan dan muatannya. Kini anda bertemu dengan mereka sendiri. Puas anda mendakap sahabat-sahabat pejuang itu, puas anda mengusap kepala anak yatim dari bapa yang syahid di jalan Allah.


Anda menyaksikan bumi Palestin yang kami sendiri rindui. Tembok maya dan tembok tentera itu semakin terbelah menanti untuk roboh. Semakin hampir kita dengan Tebing Barat untuk ke Baitul Maqdis, solat di masjidil Aqsa. Ribuan kaki akan menjejaki tapak laluan anda.


Baru-baru ini saya bersama sekumpulan teman-teman yang duduk mentalaah buku Himpunan Risalah Imam Hasan al-Banna. Sambil berbincang hukum hakam jihad, tangan sempat mencapai dan mengucah kacang serta menghirup kopi panas. Kadang-kadang terasa malu kalau nak dibandingkan dengan anda yang berada di lokasi sebenar.


Namun pengagihan kerja berlaku, sebahagian kita ber"tafaqquh fiddin" mencari ilmu, sebahagaian yang lain berjuang, manakala sebahagian yang lain berdakwah dan menyusun tarbiyah. Oh manisnya bekerja dalam Harakah Islamiyah.


Aqsa Syarif memancarkan perjuangan Palestin dari pelbagai penjuru. Bagi ulama, pendakwah, dan insan yang ditarbiyyah ia adalah sebahagian tanggongjawab perjuangan.


Bagi bukan ulama' ia adalah perjuangan persaudaraan seakidah dan seagama. Membantu saudara yang teraniaya. Kita tidak boleh duduk diam bersahaja sedangkan saudara kita merana.


Bagi none muslim ini adalah perjuangan kemanusiaan yang tidak terbatas. Anda adalah sukarelawan Aqsa Syarif yang menggerakkan ketiga-tiga kelompok pejuang Palestin. Dalam konvoi ini anda mewakili golongan ulama' atau pendakwah yang ditarbiyah. Anda memimpin golongan teramai masyarat Islam. Pada waktu yang sama, anda bersama none muslim mengerakkan isu Palestin.


Ya, saya minta anda terus mengatakan ini adalah konvoi kemanusiaanIKRAM yang terpahat di dada dan akhlak anda. walaupun ia tidak terbatas kepada fahaman yang sempit. . Inilah hasil perjuangan tarbiyah


Risalah Jihad Imam al-Banna mengajar bahawa kita membawa perdamaian. Jihad mengawal dan menjaga, agar perdamaian dapat dikekalkan. Hasilnya, akidah dan syariat yang menjaga hak asasi manusia dapat dipertahankan. Anda menjadi pembakar semangat perjuangan di tanahair.


Kami akan pastikan tabung Palestin Aqsa Syarif yang terluak akan dipenuhkan semula. Kerana anda telah habis menggagih-agihkannya kepada projek pendidikan, penternakan, pembangunan dan lain-lain di sana. Kita akan terus menghantar dengan apa cara sekalipun selagi Gaza dan Palestin belum mendapat haknya. Selagi AQSA terus dijajah.


Akhirnya, Al-Banna ada menukilkan sebuah hadis yang masyhur tetapi kata-kata itu lebih dinisbahkan kepada Ibrahim ibnu 'Ablah:


"Kita kembali dari jihad kecil kepada jihad besar. Sahabat bertanya: Apakah jihad besar? Sabda baginda: Jihad hati atau jihad nafsu"


Tentunya anda faham maksud tersirat dari kata-kata ini. Anda akan kembali ke tanah air dari Gaza selepas berjaya dalam satu ujian. Namun ujian berikutnya menunggu anda. Ketahuilah disebalik kilauan lanser kamera itu ada penyakit. Di sebalik pujian itu ada racun. Teruskan berjihad melawan nafsu yang barangkali lebih ganas dari sebelum ini. Kerana, anda telah berada di makam yang berlaianan dari yang sebelum ini.


Terima kaseh kerana telah menunaikan janji mulia kita, mengizinkan telinga kami mendengar sorakan takbir kesyukuran dari saudara-saudara kita di Gaza. Allah telah memaqbulkan doa hamba-hambaNya ini.


Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahilhamd.


Wassalam



USTAZ HASANUDDIN MOHD YUNUS
Pengerusi AQSA SYARIF
Ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM

No. 18 Jalan Damai Mewah 2,
Taman Damai Mewah, 43000 Kajang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Pej: 0387334636
Faks: 0387349636
Tel HP: 013-7444428
E.mail: admin@aqsasyarif.com
myhasanuddin@gmail.com
Web: www.aqsasyarif.com

AQSA SYARIF BERHAD Acc. No: MBB 551575004299

Friday, September 17, 2010

Rangkuman Berita Konvoi Misi Darat Bantuan Ke Gaza


15 September 2010 – Keberangkatan Land Convoy Aqsa to Gaza Viva Palestina5 (LCA2GVP5) seramai 7 anggota dari KLIA diiringi lebih 150 rakyat Malaysia bersama dorongan semangat para pimpinan NGO, aktivis kemanusiaan dan do’a oleh Ustaz Aqib (anakanda Yg Bhg Ustazah Arfah).

Beberapa pimpinan tertinggi Pertubuhan IKRAM Malaysia, Ahli Lembaga & CEO Aqsa Syarif, pimpinan Viva Palestina Malaysia dan aktivis dakwah dan kemanusiaan kelihatan turut mengiringi pemergian kumpulan pertama LCA2GVP5 yang diketuai oleh ketua konvoi AQSA, Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar. Kumpulan kedua dari kalangan aktivis Viva Palestina Malaysia dalam misi ini akan berlepas esok dan kumpulan ketiga bersama media perdana Malaysia akan berlepas akhir bulan ini.

Komitmen rakyat Malaysia yang terus memahami, menjiwai dan menghulurkan apa jua bantuan di dalam perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan bumi mereka dan Masjidil Aqsa dari cengkaman rejim zionis Israel dijelaskan di dalam ucapan ringkas ketua misi beberapa minit sebelum rombongan sukarelawan berlepas dengan Qatar Airways ke London. Turut sama hadir menghantar sukarelawan ialah rakyat Malaysia dari berbilang kaum.

Para sukarelawan sangat terharu dengan sokongan dan sambutan yang ditunjukkan oleh mereka yang datang dari selatan semananjung dan utara semenanjung untuk mengucapkan selamat jalan kepada sukarelawan.


15 September 2010 – Jam 23:30 waktu Doha, Qatar (03:30 waktu Malaysia) mendaratnya flight Qatar Airways di lapangan terbang antabangsa Doha yang turut membawa tujuh sukarelawan AQSA. Mereka kemudian disambut oleh staf Hospital Doha yang bertugas bersama Dr Azhar (rakyat Malaysia).

Setelah melepasi pemeriksaan imigresen dan mendapat visa lawatan, dua orang rakyat Indonesia yang menjadi imam di Doha bersama dua kenderaan menjemput sukarelawan AQSA dan membawa ke rumah Dr Azhar di pinggir bandar Doha.

Kesempatan masa digunakan para sukarelawan membersih badan, bersolat, membaca Qur’an, tidur seketika, menyalin rakaman gambar-gambar di dalam memori, menyemak tugasan dan menerbitkan bahan untuk dikongsi pembaca blog.

Sekitar jam 05:00 pagi waktu tempatan, para sukarelawan akan bergerak semula ke lapangan terbang Doha bagi menaiki kapal terbang ke London yang akan terpang pada jam 07:35 pagi 16 September 2010.

Wednesday, September 15, 2010

Sekitar Sambutan Hari Al Qud KHAR-UPSI






Aqsa Syarif telah hadir menyertai pameran sempena sambutan Hari Al Quds di Kolej Harunamnurrashid (KHAR) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim Perak. Program yang berlangsung selama dua hari telah diserikan dengan pelbagai aktiviti merangkumi pameran Palestin,kuiz, pengedaran risalah, kutipan derma dan tanda tangan pada Gaza Wall.

Majlis perasmian aktiviti tandatangan Gaza Wall telah disempurnakan oleh Pengetua KHAR. Aktiviti telah menerima sambutan yang menggalakan daripada penghuni KHAR.

Pihak Aqsa Syarif Batang Padang mengucapkan terima kasih diatas kerjasama dan bantuan daripada pihak Pengetua KHAR, Jawatankuasa Mahasiswa Kolej KHAR dan semua sukarelawan yang secara ikhlas menjayakan program ini. Semoga amal bakti ini akan diterima oleh Allah SWT.

Tuesday, August 24, 2010

Sumbangan Derma Projek Ternakan Lembu Tenusu/ Daging




PACE/JIM telah memghulur sumbangan kepada Islamic Society - Jabaliya/Palestine melalui AQSA SYARIF untuk menampung perbelanjaan usaha ladang ternakan lembu tenusu/pedaging di Gaza. Usaha ini dijalankan oleh Islamic Society dan berpotensi besar untuk maju. Ia dikendalikan secara profesional dengan tenaga pakar yang sudah berpengalaman mengendalikan ladang ternakan secara komersial selama 30 tahun dan mendapat latihan di Germany. Ladang tenusu ini dibahagikan kepada dua tempat atas sebab keselamatan dan jaminan untuk bekalan yang tidak terputus sekiranya berlaku serangan ke atas Gaza. Ladang ini membekalkan keperluan susu dan juga daging terutama pada Hari Raya Qurban kepada penduduk Gaza. Ladang yang diusahakan secara profesional ini mendapat baka dari Australia dan Belanda.

Majlis sumbangan derma berkenaan telah diadakan di Pejabat Aqsa Syarif Berhad dengan kehadiran Pengerusi Aqsa Syarif Berhad (Ustaz Hassanudin Mohd. Yunus) dan Profesor Madya Dr Hafidzi Mohd. Noor selaku Pengarah PACE.

Saudara Abdul Rahim telah hadir mewakili pihak Islamic Society Jabaliya untuk menerima sumbangan sebanyak EURO 25,805 bagi tujuan penternakan lembu tenusu dan daging di Gaza, Palestin.

Saturday, July 31, 2010

Perkembangan Program Anak Yatim Palestin

الـسـلام عـلـيـكـم ورحـمـة الـلّـه وبـركـاتـه

الـحـمـد لـلّـه والـصـلاة والـسلام على رسـول الـلّـه

Segala pujian bagi Allah dan selawat dan salam untuk Rasulillah.

18 Jan 2010 saya kembali dari Beirut membawa semangat yang besar dan amanah yang berat. Antaranya merakam suara tangisan anak-anak yatim Palestin di dada, untuk diperdengarkan semula ke seluruh rakyat Malaysia.

Sekembali ke tanah air, mendapat berita permohonan AQSA SYARIF BERHAD diluluskan. Berlakulah proses demi proses. Kini saya akan kembali ke Beirut semula. Dalam tempoh hampir 100 hari, berbekal Nusrah Ilahi, saya tidak kembali dengan tangan kosong. Saya membawa berita gembira untuk 50 anak yatim di bumi Palestin; Terus terbayang merekalah bakal pengganti ayahanda yang sebahagiannya syahid. Merekalah yang akan berdepan mempertahankan Masjidil Aqsa dan bumi Palestin.

Ya! dalam tempoh yang singkat ini, semua yang terlibat telah berjaya memainkan peranan masing-masing, Tahniah! Sekurang-kurangnya untuk tempoh 12 bulan ke hadapan ini, mereka terjamin dengan janji kita untuk memastikan USD50 sampai kepada mereka setiap bulan. Kita akan mengingat dan mengurus janji Penaja mereka yang kita susun aturkan itu. Ada penaja telah membayar untuk setahun malah ada yang telah ‘pledge’ penajaan untuk tiga tahun. Allah Akbar! Allah Akbar! Akbar!. Moga antum diberkati Allah atas usaha mulia ini.

Doakan perjalanan dan langkah kami (bersama Pn Syarifah Mahiza Syed Abd kadir). Moga terbuka luas peluang-peluang membantu mereka, disamping menghadiri Konvensyen kanak-kanak Palestin.

Tetapi saya menyalahkan diri ini, kerana masih ada 50 orang yang membisikkan ke telinga saya, bila giliran kami wahai Ammi! ( عـمّى ) Wahai Pak cik. Ini membuat saya sukar untuk menapak bumi dan menjunjung langit Allah S.W.T. Saya kena lebihkan ucapan أسـتـغـفـر الـلـه الـعـظـيـم ke mana sahaja saya pergi. Suara mereka mengingatkan saya kepada Ilahi. Suara mereka mengingatkan saya agar kurangkan berteori banyakkan amali.

وفـّقـكـم الـّلـه

USTAZ HASANUDDIN MOHD YUNUS

PENGERUSI

AQSA SYARI

Kapal India Akan Bersama Dalam 'Audacity of Hope'

Khamis, 29/07/2010 – Kapal India bersedia untuk bergabung dengan armada bantuan kemanusiaan bernama “The Audacity of Hope” yang akan bermula pada September belayar ke Jaluran Gaza.

Akhbar “Indian Express” berkata bahawa armada bantuan kemanusiaan “The Audacity of Hope,” yang diinspirasi oleh seorang teman Presiden AS Barack Obama, akan termasuk kapal bantuan dari Eropah, Kanada, India, Afrika Selatan dan Timur Tengah, yang akan belayar untuk mematahkan kepungan di Gaza. Kempen ini muncul di tengah-tengah tekanan antarabangsa terhadap “Israel” untuk mengangkat pengepungan di Semenanjung Gaza.

Armada tersebut akan meliputi sejumlah orang yang berkeperibadian yang terkemuka, termasuk teman Presiden AS Barack Obama, Rashid Khalidi. Akhbar Hindi mengatakan bahawa persediaan sedang diadakan untuk mengumpul 360,000 dolar untuk membeli sebuah kapal untuk membawa 40-60 aktivis, di samping untuk menampung kos operasi.

Khalidi mengatakan bahawa fakta bahawa kapal ini adalah dari Amerika, akan sukar bagi Israel untuk berurusan dengan mereka berbanding mereka berurusan dengan armada kebebasan tempoh hari.

Sumber : Palestinkini.Info

Saturday, July 3, 2010

Majlis Pra Pelancaran Buku 'Membongkar Kejahatan Israel'

Al-Asy’al mengutuk sikap Mesir terhadap HAMAS


Seorang bekas diplomat dan pensyarah dalam bidang sains politik di beberapa buah universiti Mesir, Abdullah al-Asy’al (gambar) mengkritik cara Mesir mengambil pendirian terhadap isu sekatan yang dikenakan ke atas Genting Gaza dan terhadap HAMAS yang memerintah genting tersebut.

Dalam kenyatan yang diberikan kepada al-Quds Press, beliau menegaskan Kaherah adalah rakan kongsi utama dalam sekatan terhadap Gaza. Ia adalah pihak yang memihak kepada Presiden Mahmud Abbas yang sentiasa menghalang daripada tercapainya apa sahaja perdamaian nasional. Beliau juga berkata: “Di Mesir, isu Gaza mempunyai dua sudut. Pertama pintu sempadan Rafah yang berhubung dengan sekatan yang dikenakan terhadap Genting Gaza, yang Mesir turut serta dalam menutup pintu sempadan tersebut. Dengan tindakan tersebut, Mesir menunjukkan keikhlasannya kepada Israel sekalipun pelbagai amaran telah diberikan. Dengan itu juga, Mesir mewujudkan pertelingkahan dengan HAMAS kerana Kaherah mengaitkan penutupan pintu sempadan itu dengan penjagaan kepentingannya.”

Beliau juga menolak kemungkinan perdamaian di antara HAMAS dan Fatah dengan berkata: “Pada pendapat saya, perdamaian antara HAMAS dan Fatah tidak akan berlaku. Perbezaan antara keduanya amat besar. Kedua-duanya mempunyai agenda sendiri. Agenda HAMAS berbentuk nasiolis Islam bagi membebaskan Palestin dan tidak mengiktiraf regim Zionis. Sementara Mahmud Abbas pula tidak akan kekal berkuasa melainkan dalam dakapan Zionis.

Dipetik daripada PalestinKini.

Wednesday, June 30, 2010

20 orang Palestin cedera dalam pertempuran di Silwan.


Seramai 20 orang penduduk Palestin cedera pada pagi Ahad lepas ketika bertempur dengan anggota polis rejim Zionis yang menceroboh kawasan kejiranan Silwan yang terletak di Timur Jerusalem, kata sumber Palestin. Sumber itu turut melaporkan bahawa berdozen-dozen tentera rejim Zionis (IOF) dan unit pengawal sempadan menceroboh kawasan kejiranan itu bagi membantu pendatang-pendatang haram Yahudi. Mereka melepaskan tembakan secara rambang ke arah orang awam dan melepaskan bom pemedih mata sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya dua orang cedera. Tidak lama kemudian, lebih banyak kecederaan dilaporkan selepas IOF melepaskan tembakan peluru getah ke arah penduduk tempatan sementara berpuluh-puluh orang lagi menderita kerana tersedut gas pemedih mata yang dilepaskan.

sumber : PalestinKini @ The Palestine Telegraph

Monday, June 28, 2010

Pandangan Qaradawi tentang boikot Israel

Pandangan Qaradawi tentang boikot Israel
December 1, 2008

Soalan: Apakah kita dibenarkan membeli barangan dari sumber Israel, sedangkan wang yang kita guna dalam jual-beli itu akan digunakan untuk membantu “jentera peperangan” Yahudi?

Jawapan oleh Sheikh Yusuf Al-Qaradawi:

Membebaskan tanah milik Islam daripada mereka yang menakluk atau menyerangnya adalah merupakan satu Jihad. Jihad ini merupakan suatu yang wajib dan mulia; pertamanya ke atas warga negara berkenaan. Sekiranya warga negara tersebut tidak mampu untuk melawan, maka Muslim dari negara jiran wajib membantu. Sekiranya ini masih tidak mampu juga untuk melawan, maka semua Muslim di dunia ini mesti membantu.
Palestin adalah bumi kepada Kiblat pertama umat Islam, bumi Isra’ dan Mi’raj, bumi kepada Masjid al-Aqsa dan daerah yang dimuliakan ALlah. Penakluk bumi ini merupakan musuh besar kepada umat Islam, dan mereka didokong oleh negara yang terkuat ketika ini – Amerika, juga komuniti Yahudi dari seluruh dunia.
Jihad wajib dilancarkan kepada mereka yang merampas tanah dan menghalau pemiliknya, menumpahkan darah, mengkhianati kehormatan, memusnahkan rumah-rumah, membakar ladang-ladang, dan memusnahkan bumi berkenaan. Jihad merupakan kewajipan yang paling terdahulu dari kewajipan-kewajipan yang lain, merupakan tugas paling utama umat Islam. Muslim mesti melaksanakan jihad, pertamanya kepada pemilik tanah berkenaan, kemudian jiran-jirannya, dan akhirnya seluruh umat Islam. Kita mesti bersatu menentang penjajah. Kita bersatu di dalam Islam, termasuklah kesatuan dalam iman kepada Shari’ah, kesatuan kepada Qiblat, dan kesatuan dalam kesengsaraan dan harapan. Seperti yang difirmankan oleh ALlah: “Sungguh, inilah agama kamu, agama yang satu.” (Qur’an, 21:92). Allah swt juga berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang mukmin itu bersaudara.” (Qur’an, 49:10). Dalam satu riwayat Hadith RasuluLlah saw menyatakan: “Orang Islam bersaudara orang Islam, tiada boleh ia menganiayainya, dan tiada boleh membiarkannya (dalam kehinaannya,) dan tiada boleh mendustainya dan tiada boleh menghinakannya.” [Riwayat Muslim].
Hari ini kita melihat saudara dan anak-anak kita di Al-Aqsa dan Palestin mengorbankan darah mereka, menyerahkan jiwa mereka di jalan ALlah. Seluruh umat Islam mesti membantu mereka dengan apa jua kuasa yang mereka ada. (Lihat al-Quran, 8:72).
Sekiranya seseorang meminta bantuan kerana agamanya, kita mesti membantu. Jentera bantuan kepada mereka adalah melalui boikot secara menyeluruh terhadap barangan musuh. Setiap riyal, dirham… dan sebagainya yang digunakan untuk membeli barangan mereka akan akhirnya menjadi peluru-peluru untuk menembak jantung saudara-saudara dan anak-anak di Palestin. Oleh kerana itu, adalah wajib bagi kita untuk tidak membantu mereka (musuh Islam) dengan membeli barangan mereka. Membeli barangan mereka beerti menyokong tirani, penindasan dan kekejaman. Membeli barangan mereka akan menguatkan mereka; tangungjawab kita adalah untuk melemahkan mereka semampu kita. Kewajipan kita juga adalah untuk memberi kekuatan kepada saudara-saudara kita yang berjuang di bumi barakah ini semaksima yang boleh. Jika kita tidak mampu memberi kekuatan kepada saudara kita, adalah menjadi tugas kita untuk melemahkan musuh. Sekiranya kelemahan musuh tidak tercapai kecuali dengan boikot, maka kita wajib memboikot mereka.
Barangan Amerika, sepertimana barangan “Israel” adalah haram. Adalah haram untuk mengiklankan barangan mereka. Hari ini, Amerika adalah Israel kedua. Mereka membantu sepenuhnya entiti Zionis. Israel tidak mampu merampas tanpa bantuan Amerika. Semua pemusnahan yang dilakukan “Israel” adalah dengan menggunakan duit Amerika, senjata Amerika, dan veto Amerika. Amerika telah berkurun-kurun melakukan semua ini tanpa menerima kesan hukuman atau protes terhadap tekanan dan kedudukan mereka yang mencurigakan daripada dunia Islam.
Kini tibalah masanya untuk umat Islam mengatakan “TIDAK” kepada Amerka, “TIDAK” kepada syarikat-syarikatnya, dan “TIDAK” kepada barangannya yang membanjiri pasaran kita. Kita makan, minum, pakai dan pandu apa sahaja hasil produk Amerika.
Kita semua mesti bersatu menentang penceroboh. Kita bersatu dalam Islam, termasuklah kesatuan iman kepada Sharia’ah, kesatuan kepada Qiblat, dan kesatuan dalam kesengsaraan dan harapan. Allah swt berfirman: Sungguh, inilah agama kamu, agama yang satu.” (Qur’an, 21:92).

‘Ali ra. pernah berkata: “Kamu ada tiga musuh; musuh kamu, kawan musuh kamu, dan musuh kawan kamu”. Amerika hari ini adalah lebih daripada kawan terhadap musuh kita; mereka sanggup mengorbankan diri mereka untuk Israel. Umat Islam seluruh dunia yang mencecah 1.3bilion, mampu memberi kesengsaraan kepada Amerika dan syarikat-syarikatnya dengan memboikot mereka. Ini adalah kewajipan agama kita, dan merupakan jalan ALlah. Setiap orang Islam yang membeli barangan “Israel” atau Amerika, bilamana terdapat pilihan barangan dari negara lain, adalah melakukan suatu yang haram. Mereka melakukan dosa secara jelas, merupakan satu jenayah kepada undang-undang ALlah, yang akan mengundang hukuman ALlah dan kebencian manusia.
Saudara-saudara kita di ”Israel” dan Amerika terpaksa berurusan dengan mereka dan membeli produk mereka. Allah tidak meminta sesuatu di luar kemampuan; hanya apa yang kita mampu.

Allah berfirman: “Maka bertaqwalah kamu kepada ALlah menurut kesanggupanmu” (Qur’an, 64:16).
RasuluLlah saw. pernah bersabda: “Sekiranya aku mengarahkan sesuatu, buatlah sebanyak yang kamu mampu.” Muslim di Amerika harus bekerja dengan syarikat-syarikat yang paling kurang permusuhan kepada Islam, paling kurang bersekutu dengan Zionis. Boikot syarikat-syarikat Zionist sebanyak yang mungkin.
Arab dan dunia Islam lain mesti memboikot semua syarikat-syarikat yang cenderung kepada Zionis dan menyokong Israel, tidak kira apa jua negara asal syarikat tersebut (contohnya Marks & Spencer,) dan mana-mana dari mereka yang menyokong Zionis membantu negara “Israel.” Boikot adalah merupakan senjata yang ampuh, telah digunakan di masa lalu dan kebelakangan ini. Ianya telah digunakan oleh jahiliah Mekah menentang Rasulullah saw. dan para sahabat. Ianya telah memudaratkan mereka; hinggakan mereka terpaksa memakan daun. Ia juga telah digunakan oleh para sahabat untuk melawan jahiliah di Madinah. Kebelakangan ini, kita dapat lihat negara-negara menggunakan boikot dalam perjuangan mereka memerdekakan diri dari penjajahan. Contoh yang terkenal adalah Gandhi yang telah mengarahkan masyarakat India memboikot barangan Inggeris, dan merupakan usaha yang berkesan. Boikot berada di tangan bangsa dan masyarakatnya. Kerajaan tidak dapat memaksa rakyat membeli barangan dari negara tertentu. Marilah kita menggunakan senjata ini untuk menentang musuh bangsa dan agama kita, supaya mereka sedar bahawa kita masih hidup, dan umat ini tidak akan lupus, InsyaALlah. Boikot akan membawa berbagai kesan; ianya mengajar semula umat Islam bagaimana untuk membebaskan diri mereka daripada perhambaan. Mereka menggalakkan kita untuk terikat kepada apa yang tidak berfaedah, malahan merosakkan kita. Boikot merupakan satu demonstrasi persaudaraan Islam and kesatuan Ummah. Adalah kewajipan kita untuk tidak mengkhianati saudara kita, yang berkorban setiap hari. Kita tidak akan memberi keuntungan kepada musuh kita. Boikot ini adalah merupakan tentangan kecil, yang akan membantu tentangan lebih besar yang dilakukan oleh saudara-saudara kita di bumi Anbiya’, dan menjadi kubu di perbatasan Jihad. Sekiranya setiap Yahudi di dunia ini menganggap dirinya sebagai seorang askar, mendokong Israel sedaya upaya, maka sudah tentu setiap orang Islam yang menggunakan jiwa dan hartanya adalah merupakan seorang askar yang memerdekakan Al-Aqsa. Usaha paling kecil seorang Muslim boleh lakukan adalah dengan memboikot barangan musuh. Allah berfirman: “Wahai orang yang beriman, kamu adalah pelindung antara kamu.” Sekiranya kita tidak melakukan ini, akan berlaku perpecahan dan kerosakan yang besar.
Ibu-ibu dan anak-anak perempuan kita, yang mengurus rumahtangga, mempunyai peranan yang mungkin lebih besar daripada peranan orang lelaki, kerana wanita mengawasi keperluan rumah, dan membeli apa yang diperlukan. Ibu-ibu boleh membimbing anak-anak. Dia menanam semangat Jihad dalam diri anak-anak, dan mendidik mereka apa yang perlu dilakukan demi Ummah, dan apa yang mereka perlu lakukan terhadap musuh Islam, terutama sekali berkenaan boikot. Apabila anak-anak faham perkara ini, mereka akan menjalankan boikot dengan penuh semangat, dan akhirnya akan mengepalai ibubapa mereka.
Sekiranya seorang pengguna membeli barangan Yahudi atau Amerika dikira melakukan satu dosa yang berat, sudah tentu pedagang yang membeli barangan tersebut dan menjadi ejen mereka dikira melakukan dosa yang lebih berat. Malahan sekiranya syarikat tersebut beroperasi dengan menggunakan nama yang berlainan, mereka sedar bahawa mereka hanya memperdayakan orang. Umat Islam seluruh dunia kini perlu membuktikan kewujudan mereka, dan harus menunjukkan keinginan untuk mempertahankan kesucian. Umat Islam harus tahu siapa sahabat mereka, dan siapa musuh mereka. Umat Islam dilarang memberi ruang kepada kelemahan, dan kesedihan, dan menerima perdamaian yang zalim yang ingin dikenakan oleh Zionis.
Allah berfirman: “Maka janganlah kamu lemah dan mengajak damai, kerana kamulah yang lebih unggul, dan ALlah bersama kamu.” [Qur'an, 47:35].
Saya menyeru semua yang beriman kepada ALlah, Kristian dan lainnya, dan semua manusia yang bebas dan mulia di dunia ini untuk bersama kami, dan menyokong kebenaran berbanding kebathilan, dan keadilan berbanding penindasan. Bantulah untuk memenangkan mereka yang lemah, yang setiap hari dibunuh di jalan ALlah, mempertahankan tempat yang suci.
Saya juga memohon pekerja-pekerja Arab dan negara-negara Islam dari seluruh dunia supaya menyokong rakyat Palestin, dan menunjukkan kemaharan mereka dengan melawan penzalim yang sangat gagah ini, dengan mengganggu perniagaan mereka sebanyak yang mungkin. Akhirnya, saya meminta mereka yang bijak, bertimbang rasa dan berpengalaman di setiap negara supaya bersatu membina boikot, mewujudkan pilihan alternatif dan mengelak daripada apa-apa yang tidak baik, dan teruskan mendidik masyarakat, sehinggalah kebenaran menang dan kepalsuan terhapus. Yakinlah, ianya akan musnah.
“Katakan ‘bekerjalah,’ sesungguhnya Allah akan melihat usaha kamu dan RasulNya dan orang-orang yang beriman, kamu akan dikembalikan ke dunia yang tidak pernah kamu lihat dan kamu akan tahu apa yang kamu telah kerjakan.”
“Pandangan ini adalah berdasarkan kepada hujah-hujah daripada al-Quran dan Sunnah dan Ijma’ umat Islam.” WaLlahu ‘alam

Sumber : http://haluanpalestin.haluan.org.my.

Thursday, June 24, 2010

Pembentukkan Suruhanjaya Antarabangsa Untuk Siasatan Serangan Ke Atas Flotilla

Majlis Hak Asasi Manusia yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah disahkan mendapat Suara Majoriti Selesa ke atas cadangan untuk membentuk suatu Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa terhadap serangan yang dilakukan Rejim Zionis ke atas Freedom Flotilla pada 31 Mei yang lalu yang telah mengakibatkan puluhan manusia mati syahid dan cedera parah di Kawasan Perairan Antarabangsa.

Dan berkatanya “Kempen Kesatuan Eropah Demi Memberhentikan Sekatan Ke Atas Gaza” iaitu salah satu daripada pertubuhan yang bergabung dengan Freedom Flotilla dan merupakan pertubuhan yang sering mengambil bahagian di dalam perjalanan Perjumpaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia : “Sesungguhnya Majlis Hak Asasi Manusia telah pun mengisytiharkan nama-nama untuk ke Misi Siasatan Antarabangsa iaitu pada hari Isnin (21/6) untuk menyiasat dan mengkaji segala fakta-fakta yang berkaitan untuk mengesahkan pencabulan Undang-Undang Antarabangsa yang berpunca daripada serangan Pihak Israel terhadap Kapal Konvoi Bantuan Kemanusiaan ke Gaza.

Dan pertubuhan tersebut menambah di dalam suatu kenyataan bertulis dan Pusat Informasi Palestin telah menerima satu salinan daripada kenyatan tersebut : “Sesungguhnya draf resolusi tersebut telah diutarakan oleh salah seorang daripada perwakilan Pakistan ( di atas nama Jemaah Perwakilan Bangsa Arab ) berdasarkan di atas permintaan Turki yang menjadi korban pada malam serangan tersebut yang mana telah mengorbankan 9 orang ahli konvoi warganya,dan draf resolusi tersebut telah dikeluarkan bersama-sama dengan nama-nama anggota suruhanjaya yang ditubuhkan itu,sambil memberitahu bahawa misi siasatan tersebut akan menggabungkan ahli-ahlinya yang terdiri daripada : Dino Criciotbs yang merupakan seorang peguam bertaraf antarabangsa dari Zimbabwe yang sekarang ini bertugas di Jabatan Awam Undang-Undang Antarabangsa di University Nottingham di dalam jurusan undang-undang,Puan Singh yang merupakan mantan Ahli Jawatankuasa Diskriminasi Terhadap Wanita dari India,dan Dmitry Rafik yang merupakan mantan Ahli Perwakilan Hak-Hak Asasi Manusia di Serbia,dan Anaguiborg Sólrún Zdzisladottir yang merupakan mantan Menteri Luar Iceland dan merupakan mantan Pegawai Tertinggi di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di Canada.

sumber : PalestinKini.Info

Thursday, June 3, 2010

Flotilla Gaza : Semua 12 Orang Rakyat Malaysia Bebas


Kesemua ahli team LL4G Malaysia seramai 12 orang TELAH DIBEBASKAN termasuk Sdr Mustafa Mansur. Mereka kini berada di Kedutaan Malaysia di Jordan Mereka semua berada di dalam keadaan sihat.
Mereka telah menghubungi keluarga masing-masing menggunakan telefon Kedutaan. Israel tidak mengembalikan kesemua kamera, handphone, dan sebarang alat komunikasi yang dirampas. Peralatan kamera krew Astro Awani tidak dapat dipastikan samada dipulangkan ataupun tidak buat masa ini.
Berita gembira tersebut diterima terus daripada Noorazman yang menghubungi isteri beliau, Pn Mazlinah Ghazali, pada jam 12:12 tengahari tadi waktu tempatan.
“Mereka berada di Jordan [dan] akan pulang dalam masa terdekat,” antara mesej yang dihantar oleh beliau.
Perbincangan sedang dilakukan untuk menetapkan bila mereka akan berangkat pulang.
CMT-LL4G telah berjaya menghubungi Noorazman sekitar jam 5 petang tadi. Semua relawan berada di dalam keadaan sihat walafiat dan sedang berehat. Namun mereka yang ditempatkan di sebuah hotel di Amman itu tinggal sehelai sepinggang dan tanpa paspot.
Mereka akan ke udara secara langsung di TV1 malam nanti.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dilaporkan sedang dalam perjalanan ke Jordan bagi menguruskan kepulangan mereka.
CMT-LL4G sedang membuat persediaan untuk majlis sambutan secara besar-besaran meraikan kepulangan wira-wira negara di lapangan terbang apabila mereka pulang kelak. Majlis ini akan menggantikan majlis meraikan isteri dan keluarga anggota konvoi yang dirancang oleh CMT-LL4G sebelum konvoi LL4G dibebaskan.
Astro AWANI (Saluran 501 Astro) akan mengadakan siaran lintas langsung pada jam jam 8:15 malam ini bersama Noorazman dan Ashwat dari Jordan dan setiausaha CMT-LL4G Solehuddin Shuib di studio.

sumber : http://www.http://www.lifeline4gaza.org

Monday, May 31, 2010

Kenyataan Media : ESAAN KEPADA KERAJAAN DAN RAKYAT MALAYSIA MENGUTUK SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA MISI BANTUAN KEMANUSIAAN LL4G KE GAZA

KENYATAAN MEDIA
Isnin 31hb Mei 2010
GESAAN KEPADA KERAJAAN DAN RAKYAT MALAYSIA MENGUTUK SERANGAN ISRAEL KE ATAS FLOTILA MISI BANTUAN KEMANUSIAAN LL4G KE GAZA
Perkembangan terkini flotilla Lifeline4Gaza;
1. Sebagaimana yang dimaklumi 7 buah kapal yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza sedang belayar menuju ke perairan Gaza melalui Laut Mediterranean. Konvoi ini diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH). Maklumat terkini ialah kapal induk Mavi Marmara telah diserang oleh angkatan laut Israel. Akibat dari tindakan biadap ini 3 orang sukarelawan telah terkorban dan 30 lagi mengalami cedera parah.
2. Seramai 12 orang sukarelawan bersama-sama petugas media daripada Malaysia turut menyertai konvoi bantuan kemanusiaan ini. Mereka berada di atas kapal “Mavi Marmara”. Penyertaan mereka bersama konvoi ini adalah semata-mata atas dasar kemanusiaan.
3. Semua objektif dan pergerakan konvoi ini adalah berpandukan kepada Resolusi 1860 (2009) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang maritim lain yang berkaitan. Antara lain, Resolusi 1860 menyebut antara lain
a) menyeru kepada penghantaran bantuan kemanusiaan kepada Gaza termasuk makanan, minyak dan kemudahan perubatan,
b) menggalakkan usaha-usaha membuka laluan dan mekanisma lain bagi tujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan yang berterusan,
c) menyeru semua negara untuk menyokong usaha-usaha di peringkat antarabangsa bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan dan ekonomi di Gaza, dan
d) mengecam semua bentuk keganasan dan serangan terhadap masyarakat awam dan semua bentuk terorisma.
Semua rakyat Malaysia yang terlibat di dalam konvoi ini berpegang teguh kepada peraturan dan undang-undang antarabangsa dan pekerti mulia sesuai dengan aspirasi negara Malaysia.
4. Konvoi ini membawa kira-kira 10,000 tan barangan bantuan. Seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun. Tidak ada sebarang bentuk senjata dibawa bersama konvoi ini walaupun untuk tujuan mempertahankan diri. Fakta ini jelas menunjukkan bahawa konvoi ini adalah benar-benar sebuah konvoi bantuan kemanusiaan yang akan disampaikan oleh sukarelawan-sukarelawan dari kalangan masyarakat awam.
5. Berdasarkan kepada fakta-fakta ini jelas Israel secara biadap telah melanggar undang-undang antarabangsa. Apatah lagi serangan ini berlaku di perairan antarabangsa dan dilakukan ke atas sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang tidak bersenjata yang bertujuan aman. Tindakan Israel menginjak-injak prinsip kemanusiaan ini wajar mendapat kutukan dari seluruh masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dan keadilan.
6. Kami dengan ini menyeru supaya kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Mohd Najid Tun Abd Razak dan juga Datin Seri Paduka Rosmah Mansor sebagai Penaung kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk tindakan biadap dan kejam regim Zionis Israel yang telah bertindak di luar batas kemanusiaan dengan menyerang sebuah flotila kemananan yang bertujuan semata-mata untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang teraniaya dan dizalimi sekian lama.
7. Kami juga menyeru PBB supaya mengadakan persidangan tergempar untuk meluluskan resolusi bagi mengambil tindakan paling tegas ke atas Israel, termasuk mengheret pemimpin mereka ke muka pengadilan.
8. Kami juga menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan bantahan dan kutukan paling keras ke atas Israel serta bersedia untuk menyokong apa-apa tindakan yang akan disusun seterusnya bagi menangani isu ini.
9. Kami juga menyeru kepada semua pemimpin-pemimpin politik, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat seluruhnya supaya bergabung tenaga menyatakan sokongan kepada misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mengenakan tekanan ke atas Israel yang telah menyerang flotila Gaza sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan di kalangan sukarelawan.
10. Kami seterusnya menyeru agar semua peringkat masyarakat dapat meneruskan doa dan solat hajat di masjid, surau, jabatan kerajaan, atau mana-mana tempat lain yang sesuai bagi memohon agar Allah SWT menjayakan misi bantuan ini dan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada para sukarelawan.
Zulkifli Mohd Nani
Pengerusi
Pasukan Pengurusan Krisis dan sokongan keluarga misi LL4G Malaysi