Wednesday, November 3, 2010

Liputan Bergambar Wacana Sukarelawan Palestin





Alhamdulilah. Pertubuhan Ikram Batang Padang dengan kerjasama Aqsa Syarif Berhad telah berjaya menganjurkan Wacana Sukarelawan Palestin pada 31hb Oktober 2010. Perasmian program ini telah disempurnakan oleh Dr Haji Fakharudin bin Hasim yang merupakan Yang Dipertua IKRAM Perak. Seramai 36 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, penunut institusi pengajian tinggi, pensyarah dan masyarakat awam telah menyertai program ini.

Dua penyampaian telah disajikan kepada peserta yang hadir. Penyampaian pertama berkisar dengan sejarah Palestin telah disampaikan oleh Dr Haji Muhammad Azhar bin Zailani , manakala Pengerusi Aqsa Syarif Perak, Ir Megat Sharifudin bin Ibrahim membentangkan tajuk Peranan NGO dalam isu Palestin khususnya berkaitan dengan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Palestin di Gaza yang sedang dipenjara oleh Israel melalui sekatan menyeluruh.

Saturday, October 23, 2010

Perutusan ke 5 Pengerusi Aqsa Syarif kepada sukarelawan VPM5 dan Aqsa Syarif



Perutusan ke 5 Pengerusi Aqsa Syarif kepada sukarelawan VPM5 dan Aqsa Syarif


Assalamulaikum


Manusia hanya merancang, Allah yang Mentaqdirkan. Kita mengharapkan perancangan kita tidak bertolak dari nafsu yang tidak Diredhai. Tidak pula bertolak dari kerja yang ditangguh-tangguh yang Dibenci Allah"


Sahabat Wira Pejuang Palestin yang kini memijakkan kaki di Bumi Gaza!


Perlukah saya menghantar perutusan ini dalam keadaan anda telah berjaya melintasi uijian-ujian pahit itu? Memang ujian Allah S.W.T tidak akan berakhir selagi kita "mukallaf" hidup dan dipertanggongjawabkan.


Keputusan muktamad untuk menyertai konvoi ini dibuat pada malam-malam terakhir bulan Ramadhan. Sebahagian ahli BOD berada di masjid beriktikaf dan bermunajat kepada Allah S.W.T. Kami tidak dapat membuat keputusan lebih awal kerana menanti beberapa info dari beberapa sumber yang sangat teliti. Allah menentukan keputusan perlu dibuat pada ketika kami beriktikaf di masjid rupanya, di 10 malam terakhir Ramadhan.


Saya percaya ratusan ribu dan mungkin jutaan manusia mendoakan konvoi ini. Penduduk Gaza dan Tebing Barat sendiri pun dah melebihi angka juta. Saudara kita di Malaysia, Indonesia, Selatan Thailand, Filipina, Singapura, Brunei, India, Pakistan dan 20 buah Negara-Negara Arab, Eropah, Benua Amerika dan Afrika, pasti mengikuti perkembangan anda di sana.


Anda telah berdiri memijakkan kaki di England, Itali dan Perancis bumi penjajah, dalam keadaan tangan anda mengibarkan bendera Palestin kepada penduduk di sana. Maka hebohlah perjuangan Palestin di sana dan di sekitarnya.


Anda telah berdiri memijakkan kaki di Turki bumi Abu Ayyub al-Ansari dan bumi Sultan Mohammad al-Fatih, dalam keadaan tangan anda mengibarkan bendera Palestin kepada penduduk di sana. Maka hebohlah perjuangan Palestin di sana dan di sekitarnya.


Anda telah memijakkan kaki di bumi Anbiya' Syria, menyaksikan perkemahan pelarian Palestin, dalam keadaan tangan anda mengibarkan bendera Palestin kepada penduduk di sana. Maka hebohlah perjuangan Palestin di sana dan di sekitarnya.


Anda juga telah memijakkan kaki di bumi Anbiya' Mesir dalam keadaan tangan anda mengibarkan bendera Palestin kepada penduduk di sana. Maka hebohlah perjuangan Palestin di sana dan di sekitarnya.


Kuasa Allah, selepas Menguji anda dengan perjalanan udara, air dan darat ribuan kilometer membelah bumi, menunggu dan menanti, akhirnya... kini anda telah menyerahkan kenderaan dan muatannya. Kini anda bertemu dengan mereka sendiri. Puas anda mendakap sahabat-sahabat pejuang itu, puas anda mengusap kepala anak yatim dari bapa yang syahid di jalan Allah.


Anda menyaksikan bumi Palestin yang kami sendiri rindui. Tembok maya dan tembok tentera itu semakin terbelah menanti untuk roboh. Semakin hampir kita dengan Tebing Barat untuk ke Baitul Maqdis, solat di masjidil Aqsa. Ribuan kaki akan menjejaki tapak laluan anda.


Baru-baru ini saya bersama sekumpulan teman-teman yang duduk mentalaah buku Himpunan Risalah Imam Hasan al-Banna. Sambil berbincang hukum hakam jihad, tangan sempat mencapai dan mengucah kacang serta menghirup kopi panas. Kadang-kadang terasa malu kalau nak dibandingkan dengan anda yang berada di lokasi sebenar.


Namun pengagihan kerja berlaku, sebahagian kita ber"tafaqquh fiddin" mencari ilmu, sebahagaian yang lain berjuang, manakala sebahagian yang lain berdakwah dan menyusun tarbiyah. Oh manisnya bekerja dalam Harakah Islamiyah.


Aqsa Syarif memancarkan perjuangan Palestin dari pelbagai penjuru. Bagi ulama, pendakwah, dan insan yang ditarbiyyah ia adalah sebahagian tanggongjawab perjuangan.


Bagi bukan ulama' ia adalah perjuangan persaudaraan seakidah dan seagama. Membantu saudara yang teraniaya. Kita tidak boleh duduk diam bersahaja sedangkan saudara kita merana.


Bagi none muslim ini adalah perjuangan kemanusiaan yang tidak terbatas. Anda adalah sukarelawan Aqsa Syarif yang menggerakkan ketiga-tiga kelompok pejuang Palestin. Dalam konvoi ini anda mewakili golongan ulama' atau pendakwah yang ditarbiyah. Anda memimpin golongan teramai masyarat Islam. Pada waktu yang sama, anda bersama none muslim mengerakkan isu Palestin.


Ya, saya minta anda terus mengatakan ini adalah konvoi kemanusiaanIKRAM yang terpahat di dada dan akhlak anda. walaupun ia tidak terbatas kepada fahaman yang sempit. . Inilah hasil perjuangan tarbiyah


Risalah Jihad Imam al-Banna mengajar bahawa kita membawa perdamaian. Jihad mengawal dan menjaga, agar perdamaian dapat dikekalkan. Hasilnya, akidah dan syariat yang menjaga hak asasi manusia dapat dipertahankan. Anda menjadi pembakar semangat perjuangan di tanahair.


Kami akan pastikan tabung Palestin Aqsa Syarif yang terluak akan dipenuhkan semula. Kerana anda telah habis menggagih-agihkannya kepada projek pendidikan, penternakan, pembangunan dan lain-lain di sana. Kita akan terus menghantar dengan apa cara sekalipun selagi Gaza dan Palestin belum mendapat haknya. Selagi AQSA terus dijajah.


Akhirnya, Al-Banna ada menukilkan sebuah hadis yang masyhur tetapi kata-kata itu lebih dinisbahkan kepada Ibrahim ibnu 'Ablah:


"Kita kembali dari jihad kecil kepada jihad besar. Sahabat bertanya: Apakah jihad besar? Sabda baginda: Jihad hati atau jihad nafsu"


Tentunya anda faham maksud tersirat dari kata-kata ini. Anda akan kembali ke tanah air dari Gaza selepas berjaya dalam satu ujian. Namun ujian berikutnya menunggu anda. Ketahuilah disebalik kilauan lanser kamera itu ada penyakit. Di sebalik pujian itu ada racun. Teruskan berjihad melawan nafsu yang barangkali lebih ganas dari sebelum ini. Kerana, anda telah berada di makam yang berlaianan dari yang sebelum ini.


Terima kaseh kerana telah menunaikan janji mulia kita, mengizinkan telinga kami mendengar sorakan takbir kesyukuran dari saudara-saudara kita di Gaza. Allah telah memaqbulkan doa hamba-hambaNya ini.


Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahilhamd.


Wassalam



USTAZ HASANUDDIN MOHD YUNUS
Pengerusi AQSA SYARIF
Ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM

No. 18 Jalan Damai Mewah 2,
Taman Damai Mewah, 43000 Kajang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Pej: 0387334636
Faks: 0387349636
Tel HP: 013-7444428
E.mail: admin@aqsasyarif.com
myhasanuddin@gmail.com
Web: www.aqsasyarif.com

AQSA SYARIF BERHAD Acc. No: MBB 551575004299

Friday, September 17, 2010

Rangkuman Berita Konvoi Misi Darat Bantuan Ke Gaza


15 September 2010 – Keberangkatan Land Convoy Aqsa to Gaza Viva Palestina5 (LCA2GVP5) seramai 7 anggota dari KLIA diiringi lebih 150 rakyat Malaysia bersama dorongan semangat para pimpinan NGO, aktivis kemanusiaan dan do’a oleh Ustaz Aqib (anakanda Yg Bhg Ustazah Arfah).

Beberapa pimpinan tertinggi Pertubuhan IKRAM Malaysia, Ahli Lembaga & CEO Aqsa Syarif, pimpinan Viva Palestina Malaysia dan aktivis dakwah dan kemanusiaan kelihatan turut mengiringi pemergian kumpulan pertama LCA2GVP5 yang diketuai oleh ketua konvoi AQSA, Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar. Kumpulan kedua dari kalangan aktivis Viva Palestina Malaysia dalam misi ini akan berlepas esok dan kumpulan ketiga bersama media perdana Malaysia akan berlepas akhir bulan ini.

Komitmen rakyat Malaysia yang terus memahami, menjiwai dan menghulurkan apa jua bantuan di dalam perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan bumi mereka dan Masjidil Aqsa dari cengkaman rejim zionis Israel dijelaskan di dalam ucapan ringkas ketua misi beberapa minit sebelum rombongan sukarelawan berlepas dengan Qatar Airways ke London. Turut sama hadir menghantar sukarelawan ialah rakyat Malaysia dari berbilang kaum.

Para sukarelawan sangat terharu dengan sokongan dan sambutan yang ditunjukkan oleh mereka yang datang dari selatan semananjung dan utara semenanjung untuk mengucapkan selamat jalan kepada sukarelawan.


15 September 2010 – Jam 23:30 waktu Doha, Qatar (03:30 waktu Malaysia) mendaratnya flight Qatar Airways di lapangan terbang antabangsa Doha yang turut membawa tujuh sukarelawan AQSA. Mereka kemudian disambut oleh staf Hospital Doha yang bertugas bersama Dr Azhar (rakyat Malaysia).

Setelah melepasi pemeriksaan imigresen dan mendapat visa lawatan, dua orang rakyat Indonesia yang menjadi imam di Doha bersama dua kenderaan menjemput sukarelawan AQSA dan membawa ke rumah Dr Azhar di pinggir bandar Doha.

Kesempatan masa digunakan para sukarelawan membersih badan, bersolat, membaca Qur’an, tidur seketika, menyalin rakaman gambar-gambar di dalam memori, menyemak tugasan dan menerbitkan bahan untuk dikongsi pembaca blog.

Sekitar jam 05:00 pagi waktu tempatan, para sukarelawan akan bergerak semula ke lapangan terbang Doha bagi menaiki kapal terbang ke London yang akan terpang pada jam 07:35 pagi 16 September 2010.

Wednesday, September 15, 2010

Sekitar Sambutan Hari Al Qud KHAR-UPSI






Aqsa Syarif telah hadir menyertai pameran sempena sambutan Hari Al Quds di Kolej Harunamnurrashid (KHAR) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim Perak. Program yang berlangsung selama dua hari telah diserikan dengan pelbagai aktiviti merangkumi pameran Palestin,kuiz, pengedaran risalah, kutipan derma dan tanda tangan pada Gaza Wall.

Majlis perasmian aktiviti tandatangan Gaza Wall telah disempurnakan oleh Pengetua KHAR. Aktiviti telah menerima sambutan yang menggalakan daripada penghuni KHAR.

Pihak Aqsa Syarif Batang Padang mengucapkan terima kasih diatas kerjasama dan bantuan daripada pihak Pengetua KHAR, Jawatankuasa Mahasiswa Kolej KHAR dan semua sukarelawan yang secara ikhlas menjayakan program ini. Semoga amal bakti ini akan diterima oleh Allah SWT.